Inisiatif Malaysia Dalam Memperkenalkan Dinar Emas. dulu….sekarang?

Penggunaan dinar emas telah mula disuarakan oleh Dr. Mahathir bin Mohamad perdana menteri Malaysia yang keempat.

Dr. Mahathir adalah seorang pemimpin yang dikenali dunia sebagai seorang yang bersuara lantang dan memiliki daya tahan yang tinggi di pentas politik antarabangsa.

Dr. Mahathir telah memainkan peranan yang penting di dalam menetapkan wawasan 2020 – satu visi untuk menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang maju.

Pada tahun 2001, Dr. Mahathir telah menyuarakan idea mengenai sistem pembayaran berteraskan emas – sistem dinar emas. Ia bertujuan membayar jumlah perdagangan dua negara ataupun berbilang negara sekali gus mengelakkan risiko kerugian di dalam urus niaga mata wang. Dengan kaedah ini emas akan digunakan sebagai media pertukaran dan unit akaun berbanding mata wang negara terbabit.

Harga bagi setiap import dan eksport akan disebut di dalam nilai berat emas.

Proposal ini bertujuan mencari sistem alternatif bagi mengelakkan ketidakpastian situasi ekonomi yang terdedah kepada ancaman manipulasi mata wang dan aktiviti spekulasi.

Untuk memahami kenapa Dr. Mahathir mencadangkan sistem dinar emas, kita perlu melihat kembali kepada krisis mata wang Malaysia yang berlaku pada Julai 1997.

Di dalam bukunya ‘The Malaysian Currency Crisis, How and Why it happen’ Dr. Mahathir menerangkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai perkembangan ekonomi yang kukuh. Ia berkembang sebanyak 8% setahun, memiliki politik yang stabil dan ekonomi yang kuat. Nilai mata wangnya adalah stabil dan hutang antarabangsanya masih di tahap boleh diuruskan. Justeru Malaysia bukanlah negara yang berpotensi menghadapi kemelesetan ekonomi.

Namun bermula pada Julai 1997, nilai mata wang Ringgit Malaysia mula jatuh dengan pantas dan pasaran saham menurun ke tahap yang paling rendah. Nilai Ringgi Malaysia terus jatuh tanpa dapat di tahan. Rakyat Malaysia kebingungan dengan situasi ini.

Faktor utama kejatuhan nilai Ringgit Malaysia adalah berpunca daripada serangan spekulasi daripada peniaga mata wang. Dr. Mahathir menyalahkan para spekulator yang menyumbang kepada penurunan nilai RM sehingga menjejaskan keseluruhan ekonomi negara. Peniaga mata wang menurunkan nilai RM bukan kerana mereka takut nilai mata wang akan menurun sebaliknya mahu mengaut keuntungan dengan menjual mata wang.

Dr. Mahathir faham bahawa nilai mata wang boleh diserang kerana ianya bersandarkan sistem wang fiat. Wang fiat adalah wang yang diiktiraf sah oleh kerajaan tanpa disokong oleh apa-apa logam berharga seperti emas dan perak.

Di dalam satu ucapannya, Dr. Mahathir menyebut bahawa wang kertas memperoleh nilainya daripada pengiktirafan kerajaan. Kerajaan yang meletakkan nilai pada wang kertas berkenaan. Contohnya wang kertas RM1 mempunyai nilai kerana kerajaan yang mencetak nilainya di atas wang kertas berkenaan. Jika kerajaan mencetak RM5 atau RM10 ke atas wang kertas berkenaan, nilai kertasnya adalah

 tetap sama.

Pengiktirafan dan jaminan kerajaan yang menyebabkan wang kertas mendapat nilainya.

Antara pengajaran yang diperoleh daripada krisis mata wang tahun 1997.

1. Wang kertas tidak mempunyai nilai – ia cuma nombor yang dicetak di atas kertas
2. Sistem kewangan global adalah tidak stabil dan tidak adil.
3. Negara membangun mempunyai sedikit ataupun tiada langsung pertahanan dari aktiviti spekulasi mata wang.
4. untuk melindungi diri sendiri, sesebuah negara perlu membina sistem perdagangan sendiri berteraskan nilai sebenar.
5. Emas mempunyai nilai yang stabil, selamat dan diterima di seluruh negara sebagai media pertukaran.

 

 

Inisiatif Dinar Emas oleh Dr. Mahathir.

Keberanian dan kejayaan Dr. Mahathir dalam mempertahankan ekonomi Malaysia daripada spekulator mata wang dan pengaruh IMF memberikan beliau pemahaman yang mendalam tentang kepentingan membangunkan sistem perdagangan berteraskan emas untuk negara-negara Islam. Bagi dunia Islam, inisiatif menggunakan emas untuk penyelesaian perdagangan antarabangsa boleh menjadi paksi untuk menguatkan dan menyatukan dunia Islam.

Persidangan OIC ke 10 – Proposal menggunakan emas untuk penyelesaian perdagangan dibentangkan.

Proposal untuk menggunakan emas sebagai pembayaran bagi perdagangan telah dibentangkan kepada 57 ketua negara. Perjanjian dua pihak dimulakan, kemudian berkembang menjadi perjanjian bersama yang diharapkan akan menjadi blok perdagangan emas. Inilah platform di mana semua negara-negara Islam boleh bersetuju sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr. Mahathir “… tindakan ini lebih berkesan untuk melawan penindasan pihak musuh berbanding mengambil tindakan yang sia-sia seperti keganasan”.

Kesan Global.

Penggunaan dinar emas menandakan pengembalian kepada emas sebagai alat kewangan dan mata wang dunia yang sebenarnya. Penggunaan dinar emas berbanding sistem wang kertas akan membolehkan:

1. Perpaduan dan kekuatan umat Islam dibina.
2. Memulakan blok perdagangan dengan sistem dinar emas
3. Menggalakkan dan mempromosikan perdagangan di antara anggota OIC
4. Mengelakkan daripada pergantungan kepada USD
5. Membuka jalan kepada praktis perdagangan berkaitan emas.
6. Membantu mewujudkan sistem perdagangan yang stabil dan adil yang memberikan manfaat kepada semua negara membangun.

Statistik daripada bank Penyelesaian Antarabangsa (bank of International Settlement) menunjukkan hampir 80% daripada perdagangan antarabangsa menggunakan US Dollar sebagai medium pertukaran (1998).

Pergantungan kepada USD memberikan sistem kapitalis lebih kelebihan di dalam semua situasi ekonomi. Jika sistem dinar Islam berjaya diimplementasikan, dominasi Bank Dunia dan IMF akan turut terjejas. Sudah pasti dunia Barat akan menentang hasrat Malaysia dengan segenap kekuatan. Walaupun demikian Malaysia mempunyai sebab tersendiri untuk melaksanakan sistem dinar Islam kerana ia memelihara keadaan ekonomi Muslim dan aktivitinya.

Dr. Mahathir di dalam satu sidang medianya selepas merasmikan hari pekerja di Institut Tadbir Awam Negara (INTAN) memberitahu bahawa hasrat Malaysia menggunakan dinar emas di dalam perdagangan antarabangsa tidak hanya terbatas kepada lebih daripada 24 negara yang ia mempunyai perjanjian pembayaran 2 hala (Utusan Malaysia 1/5/2002).

Pada mulanya Malaysia akan cuba untuk melaksanakan penggunaan dinar di dalam lingkungan sebahagian kecil negara sebelum sistem dinar diterima secara meluas sebagai wang perdagangan.

Sumber:http://www.publicdinar.com/component/option,com_frontpage/Itemid,1/lang,malay/

Dinar Emas Elak Manipulasi ( Nik Aziz & Dr Mahathir)

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Hrkh) – Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa anggota gabungan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) supaya menggunakan Dinar Emas untuk menghalang Amerika Syarikat dan Yahudi terus menguasai ekonomi dunia.

Dalam ucapannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi,Nik Aziz mempersoalkan jika Kesatuan Eropah boleh menggunakan Euro sebagai matawang sendiri, mengapa tidak negara OIC.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS menegaskan, penggunaan dinar boleh menjadi teras kepada penyatuan negara umat Islam dari sudut ekonomi untuk bangkit dari dibuli penjajahan kuasa besar dunia.

Nik Aziz turut mengesyorkan kerajaan Malaysia, supaya mengambil langkah positif, meneruskan cadangan dan landasan yang dimulakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu, bagi menggunakan emas dalam perdagangan antara negara-negara OIC.

“Perkara ini bukan merupakan isu ekonomi semata-mata,” tegasnya. Kerajaan Negeri Kelantan menurutnya mengorak langkah pada tahun lalu untuk memperkenalkan dinar emas kepada rakyatnya.

Beliau turut berbangga kerana pelancaran dinar emas mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat Kelantan dan pelancong yang berkunjung ke negeri Serambi Mekah itu.

Nik Aziz berkata demikian dalam Majlis Makan Malam sempena ‘Persidangan Antarabangsa Mengenai Ekonomi Gold Dinar’ yang dianjurkan di PWTC pada 24 dan 25 Julai ini yang turut disiarkan secara langsung menerusi http://www.kelantan.tv.

Selain Dr Mahathir sebagai pemidato utama, persidangan dua hari itu mengemukakan beberapa tokoh ekonomi Islam antarabangsa antaranya, Profesor Madya Dr Ahamed Kameel Mydin Meera, Profesor Masudul Alam Choudhury, Sheikh Imran N. Hosein, Umar Ibrahim Vadillo, dan lain-lain.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Naib-naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa, Mohamad Sabu dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Abdul Fatah Mahmood.

http://www.dinarkel.com/

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun urusniaga menggunakan dinar emas boleh mengelak manipulasi dan penipuan, tetapi malangnya tiada negara, termasuk negara Islam yang mahu melakukannya.

Bekas Perdana Menteri berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi Emas Dinar 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Beliau berkata, seketika dahulu Malaysia pernah mahu menggunakan dinar emas dalam urusniaga tetapi tidak berjaya dilaksanakan kerana tiada negara lain yang sedia menjalankan urusniaga menggunakannya.

Bagaimanapun, beliau tidak membuat cadangan khusus supaya kerajaan menggunakan dinar dalam urusniaganya.

“Tetapi kita masih boleh melaksanakannya hari ini kerana Dolar Amerika tidak ada nilai,” katanya kepada wartawan.

Beliau berkata, dinar emas tidak sama dengan matawang kerana kerana ia tidak boleh dimanipulasi di pasaran semasa.

Katanya, dinar juga boleh digunakan untuk pelbagai tujuan dari urusniaga harian sehingga kepada urusan perkahwinan dan ibadah haji.

Bagaimanapun, katanya, untuk menjadikan dinar emas sebagai wang alternatif perniagaan bukanlah mudah kerana ia boleh menyebabkan ekonomi negara gagal atau musnah.

Sementara itu dalam ucaptamanya, Dr Mahathir berkata, sekalipun Malaysia menggunakan dinar emas, namun sistem perdagangan lama terus digunakan.

“Apabila kita memperkenalkan perbankan Islam, sitem perbankan lama masih dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata, Bank Pusat patut menerima bayaran dari pengimport di dalam negeri dan dan digunakan untuk membayar kepada pengekport dari negara sama.

Bagaimanapun, kata Dr Mahathir, dinar emas masih mempunyai masalah iaitu dari segi pengangkutan kerana ia sangat berisiko.

Bekas Perdana Menteri itu juga berkata, umat Islam hari ini menjadi lebih kaya dari sebelumnya, khususnya dari segi pendapatan dalam dolar Amerika, tetapi tidak menggunakan sistem perbankan ataupun atau wang untuk kepentingan mereka.

Menurut Dr Mahathir, mereka sebaliknya menyimpan wang di negara luar khususnya di Amerika yang digunakan oleh kuasa besar itu untuk membunuh orang Islam di Palestin, Iraq dan Afghanistan.

“Saya kira para ulama perlu mengeluarkan fatwa bagaimanakah hukumnya orang Islam yang menyimpan wang di Amerika yang kemudiannya digunakan untuk membunuh orang Islam sendiri,” katanya.

Turut serta dalam persidangan yang dianjurkan Institut Penyelidikan dan Kajian Startegik Kelantan (KRISS) dengan kerjasama Marslio adalah penasihat-penasihat kewangan Bank-Bank tempatan, pakar-pakar ekonomi luar negeri dan tempatan serta pelajar-pelajar ekonomi Universiti tempatan dan antarabangsa.

Sekarang…usaha-usaha masih diteruskan agar dinar menjadi matawang islam terunggul

SEMINAR DINAR EMAS 2010 (SEDINAR ’10)

PANEL JEMPUTAN: (1) YB. DATO’ HUSAM MUSA (2) YB. DATO’ MUKHRIZ TUN MAHATHIR (3) PN. HAJJAH NIK MAHANI MOHAMAD (4) PROF. MADYA DR. SANEP AHMAD

 

Abu Bakar Ibn Abi Maryam melaporkan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW telah bersabda  “Akan tiba suatu zaman di mana tiada apa yang bernilai dan boleh digunakan oleh umat manusia. Maka simpanlah dinar dan dirham (untuk digunakan).
Musnad Imam Ahmad Ibn Hanbal.

Tinggalkan komen